Langkah-Langkah Mengatasi Stres
Mengungkap maksud tersirat disebalik kata-kata Socrates,'kehidupan yang tidak teruji bukan kehidupan yang berharga bagi seseorang',menjelaskan stres yang menguji perjalanan hidup akan membawa kehidupan yang lebih bermakna,jika masalah itu diselesaikan secara rasional kerana keperitan yang pernah dihadapi menyalurkan semangat dan azam baharu untuk menempuh liku-liku kehidupan kelak.Pada era konvergen ini,kecenderungan seseorang untuk mengalami stres disebabkan kesibukan mencari nafkah,mencapai impian tertentu,dan menimba ilmu memang tidak dapat dinafikan.Seperti yang kita ketahui,stres akan melumpuhkan semangat diri untuk bersemuka dengan dunia luar dan melakukan aktiviti harian terutama jika masalah tersebut melibatkan kes buli seperti buli mental dan buli pekerjaan yang menjadi peristiwa pahit dalam sejarah kehidupan seseorang.Andai kata stres tidak dapat diatasi dengan serta-merta,implikasinya timbullah masalah lain yang lebih kritikal seperti penyakit mental yang membawa kepada kecelaruan pemikiran dan tindakan agresif di luar kawalan,umpama sudah jatuh ditimpa tangga.Tegasnya,kita hendaklah mengatasi stres daripada membelenggu diri demi kesejahteraan hidup.
Stres boleh ditangani dengan adanya ahli-ahli keluarga yang menitikberatkan masalah yang dihadapi sesama sendiri.Pada dasarnya,ahli keluarga yang memiliki nilai empati dapat meringankan bebanan stres seseorang sekaligus membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana institusi kekeluargaan sewajarnya memupuk peribahasa,berat sama dipikul,ringan sama dijinjing diselangi nilai mawaddah dalam kehidupan harian.Pada era globalisasi ini,terdapat segelintir ahli keluarga tidak sempat meluangkan masa untuk mengambil tahu masalah yang dihadapi sesama sendiri terutama sekali terhadap individu yang berumuran remaja menyebabkan anak muda ini terpaksa menanggung sendiri stres yang dialami.Hal ini demikian kerana,ahli keluarga sibuk dalam melakukan kerja,tugasan,aktiviti dan hal masing-masing.Tambahan pula,terdapat ahli keluarga yang bersifat seperti enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing kerana menganggap ahli keluarga yang menghadapi stres boleh menyelesaikan bebanan mereka sendiri.Seandainya ibu bapa atau ahli keluarga tidak membantu menyelesaikan masalah seseorang yang mengalami stres,maka mereka juga yang akan menerima padahnya nanti jika individu tersebut bertindak di luar batasan atau melakukan sesuatu perkara yang tidak dapat disangkal.Drama Anakku Diva dan Anak Kelima boleh dijadikan teladan kerana membawa nilai-nilai kekeluargaan yang perlu ada dalam setiap institusi keluarga kepada penonton.Tuntasnya,ahli keluarga sangat memainkan peranan penting dalam menyelesaikan bebanan stres seseorang dengan mengambil tahu,empati,menyalurkan semangat dan bertindak secara rasional kerana keluarga merupakan insan terdekat yang membentuk kekuatan diri.
Selain itu,guru kaunseling merupakan guru yang menjadi ibu bapa kedua di sekolah haruslah menjalankan program-program motivasi disamping mengambil peluang untuk memberi nasihat kepada para pelajar terhadap masalah yang dihadapi.Pada hakikatnya,program-program sebegini membantu menyuntik kekuatan dalaman para pelajar secara tidak langsung kerana terdapat segelintir pelajar enggan menceritakan masalah yang tersembunyi dalam benak fikiran kepada orang lain terutamanya guru kaunseling,sedangkan masalah tersebut akan dirahsiakan jika diluahkan kepada guru yang bertugas sebagai unit bimbingan dan kaunseling ini.Marcapada ini, unit tersebut telah diwujudkan dalam setiap sekolah dan pelajar-pelajar dalam setiap tahap telah dilantik menjadi pembimbing rakan sebaya melalui sesi pemilihan,bagi memastikan pelajar yang terpilih memiliki ciri-ciri keperibadian yang baik serta menarik.Hal ini disebabkan,stres bukan sahaja berlaku kepada golongan dewasa yang sedang bekerja,malah dirasai oleh pelajar yang menimba ilmu terutama pada peringkat pendidikan menengah dan tinggi.Bayangkan pelajar-pelajar yang mengalami stres tidak diketahui oleh keluarga,rakan dan guru,impaknya pelajar tersebut semakin gontai untuk belajar dan pencapaian pelajar ini akan merosot bagai layang-layang terputus talinya.Syed Sadiq yang merupakan ahli politik pernah mengatakan,"cikgu,rakan dan ibu bapa sentiasa ada untuk membimbing kita,"membuktikan orang di sekeliling sentiasa ada untuk membimbing kita khususnya guru kaunseling.Izharnya,guru kaunseling mahupun guru-guru perlulah peka terhadap masalah para pelajar dan melakukan langkah proaktif iaitu mengadakan program-program motivasi demi kestabilan emosi mereka untuk mencapai kejayaan.
Di samping itu,rakan-rakan haruslah menjadi pendamping dan penasihat yang baik terhadap individu yang mengalami stres dalam detik perjalanan sama ada berbicara empat mata atau melalui media sosial.Ghalibnya,pengaruh rakan yang baik dan setia dalam melalui suka duka bersama-sama boleh mendorong kita untuk terus menghadapi adat dunia realiti serta mencapai kejayaan bak kata Dato' Dr Haji Fadzilah Kamsah,pakar motivasi iaitu "orang yang cemerlang dan hebat dalam pergaulan bermula daripada cetusan aura apabila dikelilingi rakan-rakan yang hebat".Dewasa ini,setiap orang pasti mempunyai rakan karib sejak di bangku sekolah dan menjalinkan hubungan persahabatan bagai dakwat dengan kertas sehingga terdapat segelintir individu dianggap menjadi sebahagian daripada ahli keluarga oleh rakan karibnya.Fenomena ini berlaku kerana tiada sesiapa boleh hidup tanpa rakan-rakan yang memberi nasihat,membimbing kita ke arah kejayaan,dan selalu hadir disaat susah mahupun senang melainkan kita sendiri yang bersikap mementingkan diri dan menjadi kera sumbang.Jikalau masalah yang membelenggu diri tidak dizahirkan kepada rakan melalui luahan kata-kata atau gelak ketawa yang membangkitkan semula kegembiraan,natijahnya keperitan yang tersembunyi di lubuk hati tidak dapat diubati dan stres akan terus berlanjutan.Heather Pryor pernah menyatakan,'teman sejati ialah orang yang meraih tangan anda dan menyentuh hati anda',membuktikan hubungan persahabatan yang tulus boleh menyelamatkan kita daripada tersakiti dengan adanya rakan yang memimpin tangan kita disaat jatuh untuk terus berjalan dengan gagah dan berani melawan semula kesakitan yang pernah dihadapi.Sudah terang lagi bersuluh,rakan yang baik sentiasa ada untuk membantu seseorang dalam mengatasi stres.
Seterusnya,kita perlulah bijak mengatasi masalah yang dihadapi dengan mengukuhkan aspek kerohanian dalam diri.Umum mengetahui,nilai kerohanian yang teguh dalam diri menjadi benteng kita untuk menahan arus kelemahan jiwa disebabkan masalah yang dihadapi dan menghentikan diri daripada terus bersedih apabila kita sedar bahawa tindakan tersebut boleh menghalang diri daripada melakukan amalan kebaikan dan tanggungjawab tersendiri.Hari ini,terdapat segelintir masyarakat tidak dapat mengawal stres dan nekad untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya terjadi seperti bunuh diri,padahal mereka mengetahui bahawa tindakan itu bertentangan dari aspek agama.Situasi ini berlaku kerana,individu-individu tersebut menganggap tindakan itu merupakan batu loncatan untuk menghentikan masalah,namun ahli keluarga pula yang akan menanggung kesedihan disebabkan tindakan tidak masuk akal ini.Seandainya individu tersebut tidak mahu membantu diri sendiri dalam menyelesaikan stres,malah menyembunyikan bebanan itu daripada pengetahuan pihak lain,maka diri sendiri juga yang akan menjadi sakit,tidak terurus,dan segala pengorbanan ibu bapa yang diberikan untuk kejayaan diri akan menjadi sia-sia bagai menabur garam ke laut.Dato' Dr Haji Fadzilah Kamsah,pakar motivasi tersohor pernah menyatakan,'hati yang bersih memancarkan gelombang positif yang amat kuat,sebaliknya hati yang kotor akan memancarkan gelombang negatif yang amat kuat',membuktikan bahawa aura positif kesan daripada nilai kerohanian yang kuat dari dalam jiwa akan menegah diri daripada jatuh ke lembah kegagalan dalam melawan masalah.Jelaslah,nilai kerohanian amat penting dalam diri untuk mengatasi stres.
Jika ditinjau dari perspektif lain,kita juga hendaklah mengiburkan diri dan mendapat rehat yang secukupnya setelah penat menghadapi alam pekerjaan atau berjuang dalam dunia pendidikan untuk mengelakkan diri daripada stres.Seperti yang kita sedia maklum,otak dan tubuh badan memerlukan rehat yang secukupnya untuk memulakan aktiviti harian pada hari seterusnya agar emosi yang baik dapat dicetuskan.Kita dapat menyaksikan,seseorang individu pasti mempunyai sifat keanak-anakkan dan mempunyai tabiat tersendiri dalam aktiviti harian,terutama apabila meluangkan masa dengan ahli keluarga dan kawan-kawan.Hal ini demikian kerana,perkara ini merupakan inisiatif tersendiri untuk menghiburkan diri setelah melalui rutin harian di tempat kerja atau sekolah kerana banyak orang banyak ragam.Jikalau seseorang individu tidak mendapat rehat yang secukupnya,maka otak tidak dapat berfungsi dengan baik menyebabkan banyak tugasan tidak dapat diselesaikan bak kata El Leseur,'tanpa semangat tiada pekerjaan besar yang dapat dilakukan'.Misalnya,kita boleh melakukan apa sahaja yang boleh menghiburkan hati dan merehatkan minda serta tubuh badan setelah penat melakukan tugasan seperti makan makanan yang mencuit lidah,bermain bersama kanak-kanak,merancang percutian ke tempat-tempat menarik,meluangkan masa dengan rakan atau keluarga,dan melakukan hobi tersendiri seperti melukis,menulis blog,menyanyi,bermain alat muzik,menanam pokok bunga dan menonton televisyen.Melalui maksud kenyataan Abraham Lincoln,'kebanyakan orang berbahagia apabila mereka mahukan kebahagiaan dalam fikiran mereka',membuktikan aktiviti-aktiviti tersebut dapat meringankan beban fikiran seseorang individu sekaligus mengelakkan stres berlaku.
Memetik maksud kata-kata Woodrow Wilson di atas,menjelaskan kita bukan hanya perlu memikirkan langkah proaktif dalam menyelesaikan stres,malah bertindak dengan serta-merta bagi mengatasi masalah tersebut.Sehubungan dengan itu,semua pihak perlulah peka dalam memainkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan masalah stres yang dihadapi oleh seseorang individu kerana kesejahteraan diri dan masyarakat adalah tanggungjawab bersama.Secara tidak langsung,masyarakat hidup dalam keadaan aman dan harmoni sekaligus mewujudkan masyarakat penyayang.Kita juga hendaklah berpegang kepada prinsip 'beringat-ingat sebelum terkena' kerana kita tidak boleh meramal perkara yang terjadi pada masa hadapan jika pada hari ini,kita memandang endah tak endah terhadap masalah orang lain.





Ulasan